KURIKULUM
"... suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan"
KSSM
Pelaksanaan KSSM memastikan setiap murid akan dipupuk dengan etika dan kerohanian dalam diri mereka sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran kehidupan masa hadapan. Murid diharapkan boleh menyelesaikan konflik secara harmoni, bijak membuat pertimbangan, berpegang kepada prinsip serta berani melakukan perkara yang betul. Penggubalan KSSM mengambil kira elemen yang mampu memupuk nilai perpaduan dan keharmonian kaum supaya murid mengenal, menghormati dan menerima kelainan serta perbezaan individu. Setiap murid akan dibentuk menjadi rakyat Malaysia yang cintakan negaranya dan berbangga sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau status sosioekonomi. Murid akan dipupuk dengan semangat patriotisme serta diajar memahami, menerima dan menghayati kepelbagaian.